sAidAtiNa AisyAh

11:45 PM



***SEJARAH HIDUP AISYAH***


1.NAMA, NAMA TIMANGAN DAN KETURUNAN AISYAH

Aisyah terkenal dengan nama panggilan as-Siddiqah. As-Siddiqah ialah perkataan Arab yang bermaksud ‘perempuan yang berkata benar’. Ada kisah menyebut nama timangannya adalah Humaira, yang bererti kemerah-merahan. Namun, tiada bukti yang sahih atau jelas berkenaan perkara ini. Nabi Muhammad sebenarnya lebih gemar memanggilnya Bintus-Siddiq . Bintus-Siddiq bererti ‘anak gadis lelaki yang berkata benar’. ‘ Lelaki yang berkata benar’ itu ialah Abu Bakar as-Siddiq. Aisyah juga turut dikenali dengan panggilan Ummul Mukminin, yang bererti ibu bagi seluruh orang Mukmin. Mukmin  dan Muslim adalah panggilan lain bagi orang Islam. Selain itu, beliau juga digelar Ummu Abdillah, iaitu ibu saudara Abdullah.
Nama sebenar bapa Aisyah adalah Abdullah, tetapi beliau lebih dikenali dengan panggilan Abu Bakar as-Siddiq. Ibunya pula bernama Ummu Ruman. Kedua ibu bapa Aisyah adalah dari suku bangsa Arab yang disebut Quraisy. Abu Bakar berketurunan Taim yang disebut bani Taim, manakala Ummu Ruman berketurunan Kinanah, yang disebut bani Kinanah. Nama penuh Aisyah serta keturunannya daripada sebelah bapa ialah Aiayah binti Abu Bakar as-Siddiq bin Abu Quhafah Utsman bin Amir bin Umar bin Ka’b bin Sa’d bin Taim bin Murrah bin Ka’b bin Luai bin Fihr bin Malik. Sementara nama penuh sementara keturunannya daripada sebelah ibu pula adalah Aisyah binti Ummu Ruman bin Amir bin Uwaimir bin Abdu Syams bin Itab bin Udzainah bin Sabi’ bin Wahban bin Harits bin Ganam bin Malik bin Kinanah. Keluarg bapa Aisyah mempunyai pertalian keluarga dengan datuk Nabi Muhammad yang ketujuh. Keluarga ibunya pula mempunyai pertalian keluarga dengan datuk Nabi Muhammad yang ke-11 ataupun ke-12.

2. DETIK KELAHIRAN AISYAH

Ummu Ruman pernah berkahwin dengan Abdullah bin Harits al-Azdi, selepas suaminya meninggal dunia, beliau berkahwin pula dengan Abu Bakar. Ummu Ruman dikurniakan dua orang cahaya mata hasil perkahwinannya dengan Abu Bakar, iaitu Abdurrahman dan Aisyah.
Tarikh sebenar kelahiran Aisyah tidak diketahui. Tetapi, terdapat beberapa peristiwa yang boleh dijadikan panduan dalam memastikan tahun kelahiran Aisyah, antaranya seperti berikut:
1.        Aisyah berkahwin dengan Nabi Muhammad tiga tahun sebelum berhijrah dari Mekah ke Madinah. Pada masa itu Aisyah berusia enam tahun.
2.       Nabi Muhammad tinggal serumah dengan Aisyah semasa beliau berusia sembilan tahun, iaitu dalam bulan Syawal, tahun pertama Hijrah.
3.       Nabi Muhammad meninggal dunia dalam bulan Rabiulawal, tahun ke-11 Hijrah. Pada masa itu Aisyah berusia 18 tahun.
Dengan penerangan di atas, jelas Aisyah lahir dalam bulan Syawal, tahun kesembilan sebelum Hijrah. Tarikh itu bersamaan dengan bulan Julai,tahun 614 Masihi iaitu  penghujung tahun kelima selepas Nabi Muhammad menjadi rasul.
Keluarga Abu Bakar adalah contoh keluarga Islam yang tiada tolok bandingnya dalam menegakkan agama Islam. Rumah Abu Bakar menjadi tempat berlindung dan pusat mengajar agama Islam kepada saudara baru. Aisyah lahir di tengah-tengah keluarga yang diberkati itu. Semasa kecil Aisyah disusukan oleh ibu susuan. Perempuan itu adalah isteri Wail Abul Qu’ais.

3. AISYAH SEMASA KECIL

Tanda-tanda kecerdasan seseorang sudah jelas kelihatan walaupun mereka masih kecil. Ia dapat dilihat dapat dilihat daripada tutur bahasa serta tingkah laku. Begitu juga Aisyah, sejak kecil lagi beliau sudah menampakkan sifat-sifat yang terpuji serta kepintaran akal melalui perbuatan dan tingkah laku.

4. PERKAHWINAN YANG DIRESTUI

Khadijah binti Khuwailid adalah isteri pertama Nabi Muhammad yang paling dicintainya. Pasangan suami isteri ini hidup rukun damai selama lebih kurang 25 tahun. Khadijah menjadi teman suka duka dan menjadi sumber kekuatan Nabi Muhammad. Kematian Khadijah menyedihkan Nabi Muhammad. Beliau menjadi gundah-gulana dan sering sahaja termenung mengenangkan Khadijah. Perkara itu merisaukan sahabat baginda. Mereka berusaha mencari jalan bagi meringankan rasa duka Nabi Muhammad.
Pada suatu hari, Khaulah binti Hakim, isteri Utsman bin Mazh’un (seorang sahabat terkemuka) pergi menemui baginda. Kahulah bertanya kepada Nabi Muhammad, “ Wahai pesuruh Allah, tidak mahukan tuan beristeri lagi?”
      “ Dengan siapa?” Nabi Muhammad bertanya.
      “ Sesiapa sahaja yang tuan mahu, yang masih perawan ataupun yang sudah menjadi janda.”
     “ Siapakah perawan itu dan siapa pula yang janda itu?” Nabi Muhammad bertanya lagi.
     “ Jika tuan mahukan yang janda, beliau adalah Saudah binti Zam’ah. Jika tuan mahukan perawan, beliau adalah anak gadis Abu Bakar as-Siddiq.”
    “ Jika begitu, sampaikanlah perkara ini kepadanya.”
Khaulah pun pergi menujuke rumah Abu Bakar bagi menyampaikan lamaran itu.
Sebelum berkahwin dengan Aisyah, Nabi Muhammad pernah bermimpi melihat Aisyah dua kali. Dan jika itu adalah ketentuan Allah, maka baginda pasti akan membuatnya terjadi.
Ahli sejarah belum dapat memastikan tarikh sebenar perkahwinan Nabi Muhammad dengan Aisyah. Badruddin al-Arini menulis di dalam buku bertajuk Umdatul-Qari bin Syarh Shahih al-Bukhari, “Nabi Muhammad berkahwin dengan Aisyah dua tahun Sebelum Hijrah. Ada juga yang mengatakan perkahwinan itu berlangsung dalam bulan Syawal, tiga hingga tiga setengah tahun Sebelum Hijrah (Mei tahun 620 Masihi). Pada masa itu aisyah berusia enam tahun. Nabi Muhammad dan Aisyah mula hidup bersama dalam bulan Syawal, tahun kedua Hijrah iaitu selepas berlakunya Perang Badar. Pendapat ini juga disokong oleh Ibn Abdil Barr di dalam buku bertajuk al-Isti’ab fi Ma’rifatil-Ashhab.

5.HUBUNGAN AISYAH DENGAN ISTERI NABI MUHAMMAD YANG LAIN
 Seperti wanita lain, Aisyah turut berasa cemburu dan sakit hati apabila mendapati suami yang dikasihinya berkahwin lagi. Nabi Muhammad mempunya lapan orang orang isteri salain dirinya. Walaupun begitu, kehidupan para isteri Nabi Muhammad tetap aman. Mereka tidak dengki-mendengki sesame mereka. Allah memuliakan dan mengangkat darjat isteri-isteri Nabi Muhammad ini.

Nabi Muhammad berkahwin dengan 10 orang wanita selepas Khadijah meninggal dunia. Beliau berkahwin dengan wanita-wanita ini dalam situasi dan dengan tujuan tertentu. Malah perkahwinan itu berlaku disebabkan kepentingan tertentu.
Salah seorang daripada 10 orang isteri Nabi Muhammad bernama Zainab binti Khuzaimah. Zainab meniggal dunia dua atau tiga bulan selepas berkahwin dengan Nabi Muhammad. Sembilan orang isterinya termasuk Aisya terus mendampingi Nabi Muhammad sehingga beliau meninggal dunia.
Berikut ialah senarai nama isteri-isteri Nabi Muhammad serta tarikh perkahwinana mereka. Senarai ini juga menjelaskan tempoh Aisyah hidup bersama isteri-isteri Nabi Muhammad yang lain.

Nama Isteri Nabi Muhammad
Tarikh Perkahwinan
1.Saudah binti Zam’ah
Tahun ke-10 Nabi Muhammad menjadi rasul
2.Aisyah binti Abu Bakar     
Tahun ke-10 Nabi Muhammad menjadi rasul
3.Hafsah binti Umar bin Khathab
Tahun ke-3 Hijrah
4.Ummu Salamah
Tahun ke-4 Hijrah
5.Juwairiyah (tawanan perang daripada bani      Musthaliq)
Tahun ke-5 Hijrah
6.Zainab binti Jahsy al-Qurasyiyah
Tahun ke-5 Hijrah
7.Ummu Habibah Ramlah binti Abu Sufyan
Tahun ke-6 Hijrah
8.Maimunah
Tahun ke-7 Hijrah
9.Shafiyah binti Huyai
Tahun ke-7 Hijrah


6.AISYAH MENINGGAL DUNIA

Tahun-tahun terakhir pemerintahan Mu’awiyah adalah masa-masa terakhir kehidupan Aisyah di dunia ini. Aisyah sudah pun mencapai usia 67 tahun. Beliau jatuh sakit dalam bulan Ramadan, tahun 58 Hijrah. Semasa sakitnya, beliau sering ditanya, “Bagaimana keadaan puan pagi ini?”. Aisyah menjawab, “Baik, Alhamdulillah.” Keadaan ini dikisahkan di dalam ath-Thabaqat al-Kubra tulisan Ibnu Sa’ad.
Sebelum meninggal dunia, Aisyah berpesan, “Jangan kuburkan saya bersama mereka (Nabi Muhammad, Abu Bakar dan Umar). Kuburkan saya di Baqi’ bersama sahabat-sahabat saya. Saya sama sekali tidak layak mendapat penghormatan itu.” Kisah ini dicatatkan oleh Bukhari.
Aisyah meninggal dunia pada malam 17 Ramadan tahun 58 Hijrah selepas selesai sahaja sembahyang witir. Tarikh itu bersamaan dengan bulan Jun, tahun 678 Masihi. Semasa beliau hampir meninggal dunia, orang ramai berkumpul di rumahnya. Belum ada orang seramai itu berkumpul pada satu malam.
Semasa Aisyah meninggal dunia, Abu Hurairah adalah gabenor sementara kota Madinah. Beliau menjadi imam sembahyang jenazah.selepas selesai, Aisyah dikebumikan di Baqi’. Mereka yang menurunkan jenazah ke dalam kubur adalah Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar, Abdullah bin Abdurrahman bin Abu Bakar, Abdullah bin Atiq, Urwah bin Zubair dan Abdullah bin Zubair.


***KARAKTER DAN KEISTIMEWAAN AISYAH***

KARAKTER AISYAH

1. Ciri-ciri Fizikal Dan Pakaiannnya
Aisyah adalah gadis Arab yang cepat matang dari segi fizikal. Semasa  berusia sembilan tahun, Aisyah sudah kelihatan seperti gadis dewasa. Daripada beberapa kisah yang diketahui, Aisyah berkulit putih kemerah-merahan. Wajahnya bersinar, cantik dan sedap mata memandang. Beliau mencapai kemuncak sifat zuhud dan qanaah, pernah mempunyai hanya sehelai pakaian. Apabila ia kotor, pakaian itu dicuci lalu dipakai kembali. Zuhud bermaksud hidup yang tidak dikuasai kemewahan dan keseronokan. Qanaah beerti puas hati dengan apa yang ada.

2. Akhlaknya
Aisyah beruntung kerana terpilih menjadi sahabat dan isteri kepada Nabi Muhammad daripada kecil hingga dewasa. Berkat didikan serta tunjuk ajar daripada Nabi Muhammad, Aisyah mencapai tahap kesempurnaan akhlak yang tinggi dan tidak hairanlah, Aisyah berada di kedudukan paling hadapan dalam barisan orang yang berakhlak mulia. Beliau mempunyai sifat zuhud dan warak, taat menjalankan perintah agama, suka menderma, bermurah hati dan berkasih sayang sesama manusia.

3. Suka membantu kaum wanita
4. Taat kepada suami
5. Tidak pernah mengumpat
6. Enggan menerima pemberian orang lain
7. Tidak rela dipuji
8. Berani dan Tabah
9. Pemurah dan Lenbut Hati
10.Kuat Ibadah

KEISTIMEWAAN AISYAH

Nabi Muhammad pernah berkata, “Saya meninggalkan dua perkara yang perlu kamu perhatikan: Kitabullah dan Ahlu Bait saya.” Hadis ini dicatat oleh Muslim.
Nabi Muhammad mahu menegaskan, Allah menurunkan Quran sebagai buku yang mudah didapati serta difahami. Tetapi, orang yang pakar dalam bidang agama tetap diperlkan bagi menerangkan sebarang kerumitan. Malah, Quran itu penuh dengan rahsia. Banyak makna di dalamnya perlu dipelajari secara teori dan praktikal.
Terdapat beberapa perkara yang menjadikan kedudukan Aisyah lebih istimewa. Nabi Muhammad sendiri memberi perhatian khusus kepadanya. Aisyah sudah dilentur daripada rebungnya, mendapat didikan dan asuhan secara langsung daripada beliau sejak kecil lagi. Selain itu, Aisyah cerdas dan berupaya memahami seluruh ajaran yang disampaikan beliau. Oleh itu, Aisyah mendapat kedudukan istimewa di kalangan Ahlul Bait.
Aisyah adalah terjemahan langsung daripada Quran dan orang yang paling memahami sunah Nabi Muhammad. Beliau adalah guru yang paling Berjaya mengajar syariat Islam kepada kaum Muslimin selepas Nabi Muhammad. Tiada sesiapa pun yang lebih tinggi pengetahuannya daripada Aisyah.
Hakim, Tabrani dan Ibnu Abi Syaibah mencatatkan, “Aisyah berkata, ‘Saya mempunyai sembilan keistimewaan berbanding wanita-wanita lain. Saya menyebut perkara ini bukan untuk bermegah-megah. Keistimewaan itu adalah seperti berikut:

1.        Nabi Muhammad pernah didatangi malaikat yang menyerupai diriku.
2.       Nabi Muhammad berkahwin dengan saya semasa saya berusia tujuh tahun.
3.       Nabi Muhammad mengajak saya tinggal serumah bersamanya semasa saya sembilan tahun.
4.       Nabi Muhammad berkahwin dengan saya semasa saya masih perawan.
5.       Wahyu pernah turun semasa Nabi Muhammad sedang bersama saya dalam satu selimut.
6.       Saya termasuk salah seorang yang paling beliau cintai.
7.        Ada beberapa ayat dalam Quran diturunkan kerana diri saya.
8.       Saya pernah melihat Jibril dengan mata kepala saya sendiri, sesuatu yang tidak pernah dialami oleh isterinya yang lain.
9.       Nabi Muhammad pernah didatangi malaikat dalam sebuah rumah yang pada masa itu hanya kami berdua ada di rumah.
Dalam kisah lain Aisyah dilaporkan berkata. “Pesuruh Allah meninggal di pangkuan saya semasa beliau bermalam di rumah saya.”


***JASA AISYAH KEPADA KAUM WANITA***

A. AISYAH MEMPERJUANGKAN HAK-HAK WANITA

Pengabdian serta jasa yang ditinggalkan Aisyah kepada kaum wanita di serata pelosok dunia sangat berpengaruh. Aisyah membuktikan kepada dunia yang hijab dan tudung kepala bukanlah halangan bagi kaum wanita Islam menjalankan tugas dan menjalankan tanggungjawab mereka,baik dalam bidang dakwah, pendidikan mahupun dalam bidang social dan politik. Inilah pemberian Aisyah yang paling bernilai kepada kaum wanita.
Secara umumnya, kehidupan Aisyah adalah bukti terbaik betapa indahnya sikap Islam pada wanita. Syariat Islam meletakkan kedudukan wanita di tingkat yang mulia. Para sahabat wanita selalunya menyampaikan masalah mereka kepada Nabi Muhammad melalui Aisyah. Aisyah pula selalu membantu, membela dan memperjuangkan hak-hak mereka pada setiap kesempatan.

Berikut adalah beberapa contoh pendapat Aisyah yang memeberi lebih banyak kemudahan bagi kaum wanita.

1.        Abdullah bin Amr bin Ash pernah memfatwakan wanita yang mandi wajib perlu menguraikan dan membuka semua ikatan rambutnya. Semasa Aisyah mendengar perkara ini, beliau berkata, “Aneh betul pendapat Ibn Amr. Beliau memerintahkan kaum wanita menguraikan rambut mereka semasa mandi wajib. Mengapa tidak beliau memerintahkan sahaja mereka mengerat habis rambut mereka itu? Saya pernah mandi bersama Nabi Muhammad di dalam satu bekas. Pada masa itu, saya hanya menjirus kepala dengan air sebanyak tiga kali dan tidak lebih dari itu.” Hadis dicatat oleh Muslim.

2.       Tidak boleh memakai wangian semasa berihram. Beberapa sahabat turut malarang memakai wangian semasa hendak memulakan ihram. Semasa Aisyah mendengar perkara itu, beliau bekata, “Kami pergi bersama Nabi Muhammad menuju ke Mekah. Kami menyapu wangian pada dahi kami semasa berihram. Semasa salah seorang dari kami berpeluh, bekas wangian itu Nampak mengalir di wajahnya. Nabi Muhammad melihat hal itu dan tidak melarangnya.” Hadis dicatat oleh Abu Dawud dan Baihaqi.

3.       Jika pembunuh hendak membayar wang tebusan kepasda keluarga mangsa pembunuh, dia perlu meminta pengampunan daripada seluruh anggota keluarga itu bermula dengan saudara terdekatnya.
Aisyah menyebut kata-kata Nabi Muhammad seperti berikut.
“ Supaya kisas dapat dibatalkan, keluarga mangsa pembunuhan perlu membatalkan tuntutan kisas. Perkara ini dimulakan dengan saudara terdekatnya, walaupun dia seorang wanita.” Hadis dicatat oleh Abu Dawud dan Nasa’i.
Kata-kata di atas bermaksud apabila salah seorang anggota keluarga mangsa pembunuh itu wanita, dia juga perlu diminta kesediaannya bagi membatalkan tuntutan kisas. Hak itu bukan hanya khusus untuk lelaki sahaja kerana wanita juga berhak menerima pusaka.

4.       Salah satu bentuk penghormatan yang Islam berikan kapada kaum wanita Muslim adalah menerima hara pusaka. Hak ini tidak pernah diberi kepada mana-mana wanita, baik bangsa Arab pada zaman Jahiliah mahupun bangsa-bangsa lain sebelum Islam. Quran ada menerangkan sebahagian besar masalah pembahagian harta pusaka. Keterangan berkenaan jumlah bahagian harta pusaka yang diperoleh kaum wanita turut diperincikan. Tetapi ada beberapa persoalan yang tidak ditemukan di dalamnya. Para sahabat terpaksa mencurahkan segala ilmu dan kepakaran dalam menyimpulkan hukum yang tepat berdasarkan Quran dan sunnah. Aisyah tercatat memainkan peranan penting dalam proses penetapan hukum itu.

5.       Islam memerintahkan supaya kaum wanita diminta persetujuan mereka sebelum dikahwinkan. Nabi Muhammad berkata, “Janda tidak boleh dikahwinkan kecuali apabila dia diminta persetujuan. Dan gadis juga tidak boleh dikahwinkan sehingga dia diminta persetujuan.” Hadis ini direkodkan Bukhari, Muslim dan Nasai’.
Namun, gadis pasti berasa malu dan sukar mengungkapkan persetujuannya dengan kata-kata. Aisyah menyedari perkara ini. Oleh itu beliau bertanya, “ Wahai utusan Allah, gadis mungkin rasa malu hendak mengatakan ‘ya’.”
Nabi Muhammad berkata, “ Jika dia diam, itu adalah tandanya dia bersetuju.” Kisah ini dicatatkan oleh Bukhari.

6.       Jika suami dipaksa menceraikan isterinya di bawah ancaman bunuh ataupun seksaan, Aisyah berpendapat lafaz talaknya dianggap tidak berlaku. Alasannya adalah kata-kata Nabi Muhammad yang berbunyi, “Talak tidak berlaku jika dilafazkan dalam keadaan terpaksa.” Hadis ini direkod oleh Ibnu Majah, Hakim, Baihaqi dan Daruquthni.
Dalam kisah lain, Nabi Muhammad berkata, “Talak tidak berlaku jika dilafazkan dalam keadaan terpaksa ataupun sangat marah.” Hadis ini direkodkan oleh Abu Dawud.
Prinsip ini diterima oleh semua ahli fiqah dan ulama hadis kecuali Abu Hanafiah. Jika aturan ini bukan sebahagian daripada agama Islam, ramai wanita jelita akan menjadi mangsa pemerintah yang zalim.

7.        Salah satu tradisi jahiliah yang dahsyat dan menghina kaum wanita adalah dalam soal talak dan rujuk. Seorang isteri itu boleh ditalak suaminya berkali-kali dan rujuk semula sebelum masa idahnya tamat. Sudah tentu perbuatan ini membuatkan kedudukan isteri terumbang-ambing dan berasa tidak selamat.
Seorang suami pernah berkata kepada isterinya, “ Demi Tuhan, saya tidak akan menceraikanmu, dan tidak akan pula menganggapmu sebagai isteri.” Si isteri bertanya. “Bagaimana mungkin?” Si suami menjawab, “Saya akan menjatuhkan talak ke atas kamu. Kemudian saya akan rujuk semula sebelum masa idahmu tamat. Akan saya lakukan begini berulang kali.” Si isteri datang berjumpa Aisyah lalu menceritakan perkara itu. Aisyah tidak dapat menjawab. Semasa Nabi Muhammad dating, Aisyah mengadukan perkara ini kepada beliau. Nabi Muhammad terdiam sehingga turun ayat 229 daripada surah al-Baqarah berikut, “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya ataupun melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik…” Tirmizi mengisahkan, “Semenjak ayat ini diturunkan, orang ramai - baik yang menjatuhkan talak mahupun yang belum melakukannya - memulakan kiraan baru dalam talak yang mereka jatuhkan kepad isteri-isteri mereka.

B. KEDUDUKAN AISYAH BERBANDING WANITA LAIN DI DUNIA

Kisah peribadi dan karakter Aisyah, baik yang umum mahupun secara terperinci, dihuraikan dengan panjang lebar.  Yang pasti, kita tentu pernah membaca kisah ramai wanita yang berpengaruh dalam sejarah dan peradaban manusia. Kisah dan pengalaman mereka ada ditulis dan dibukukan bagi bacaan. Adakah kisah dan peribadi mereka dapat dibandingkan dengan Aisyah?

Terdapat senarai kaum wanita bukan Islam yang terkenal di seluruh dunia. Sebahagian besar daripada mereka pernah melakukan keajaiban secara mebetulan. Kisah itulah yang menaikkan reputasi mereka. Contohnya, ada seorang wanita yang menyampaikan pidato dengan fasih lalu memeberi inspirasi serta meniup semangat kepahlawanan. Ada juga yang Berjaya meraih kemenangan serta menggagalkan muslihat musuh dalam peperangan. Perkara sedemikian membuatkan mereka disebut-sebut dan dikenang sepanjang zaman.
Namun, wajarkah prestasi yang mereka peroleh secara kebetulan serta pengaruhnya yang bersifat sementara itu setara dengan peninggalan dan warisan Aisyah? Perlu ditegaskan di sini, warisan peninggalan Aisyah itu sangat berpengaruh dan tidak pernah padam sepanjang zaman.
Apabila dilihat daripada sudut agama, syariat, kemuliaan dan kesucian, Aisyah tidak dapat dibandingkan dengan wanita terkenal mana pun di dunia ini. Mungkin tiada seorang pun wanita yang mampu menyamai semua keistimewaan yang ada dalam dirinya, baik semasa hidup ataupun sesudah beliau meninggal dunia. Setakat ini belum ada wanita seperti Aisyah dilahirkan yang mampu memikul pelbagai tugas keilmuan, menjalankan amanah dakwah dan pengajarang dengan sempurna, memainkan peranan social dan politik. Pada masa yang sama, tetap melakukan seluruh kewajipan agama serta terus-menerus dan memelihara tingkah laku serta budi pekerti yang baik.

Begitulah Aisyah. Insan yang serba sempurna, dihadirkan bagi menjadi contoh ideal kepada ratusan juta kaum wanita. Seluruh perkara yang dipaparkan menggambarkan ketaantannya kepada Tuhannya, akhlaknya yang mulia, dirinya yang suci, sifat zuhudnya dan kemampuannya menjelaskan hukum-hukum agama dengan terperinci. Kaum wanita perlu rasa terhutang budi kepadanya dalam segala bidang kehidupan yang merangkumi keagamaan, pencapaian akademik dan kehidupan sosialnya.
Semua ulama bersepakat, Khadijah binti Khuwailid, Fatimah az-Zahra dan Aisyah binti Abu Bakar as-Siddiq adalah wanita-wanita termulia sepanjang sejarah manusia.




~Alhamdulillah, selesai menaip~ Penat tau.. hehe
apedia, kasian?.. hah klik sini dan sini jugak.. mekasih semua. 

You Might Also Like

1 Comment

  1. Assalamualaikum..terima kasih byk2 kerana sudi kongsi riwayat hidup saidatina aisyah..beliau adalah mentor sy..sy cukup menyukai beliau hingga sanggup berulang2 kali baca ttg beliau dan takala sy perlukn semangat..lg 1.sy jg cukup cemburu jika ada org suka bnding2kn kisah kecintaan antara beliau dgn ummu khadijah..bg sy dua2 adalah wanita baik..sidsh tentu aisyah adalah jodoh masih dara yg dikurnai oleh illah dari syurga lg..

    ReplyDelete

Greetings and Assalamualaikum...
Sila tinggalkan komen anda di sini..
Will pay a visit back! Thank You

Heart 1

Travel & Beauty Blog

Sponsored