"Merry Cristmas" | Ops.. SILAP!!

2:33 PM



"Merry Cristmas" : Ops.. SILAP!!




Antara cabaran yang sedang dihadapi oleh Muslim saat ini adalah apabila Islam dianggap sebagai agama yang fleksibel dan pragmatik serta berjalan sesuai mengikut zaman. Adakah kenyataan ini benar dan boleh diterima pakai? Adakah ini bermaksud Islam berkembang dan berubah penerapan hukum-hukumnya sesuai dengan nafsu manusia yang sentiasa berubah-rubah saban hari? Sebagai contoh, pada bulan ini, dunia akan menyambut ketibaan Hari Krismas. Persoalannya di sini adalah, bolehkah kita sebagai seorang Muslim turut menyambut perayaan tersebut sebagai bukti Islam itu fleksibel dan mengikuti perkembangan zaman? 

Untuk menyelesaikan persoalan ini, tolok ukur perbuatan bukanlah dilihat dari sudut agama sesuatu kaum itu sendiri. Sebahagian umat Islam beranggapan, jika sesuatu amalan itu berasal daripada adat tradisi komuniti Muslim setempat, maka boleh diamalkan. Tetapi jika ia berasal daripada agama lain, maka haram diamalkan. Sesungguhnya tolok ukur sebegini adalah batil dan haram digunapakai oleh seseorang Muslim. 

Dalam Islam, satu-satunya kayu ukur yang benar adalah halal dan haram yang bersumber daripada al-Quran dan as-Sunnah semata-mata. Firman Allah S.W.T, “Ikutilah apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selain daripadaNya” [TMQ al- A’raaf (7):3]. 

Jadi, untuk menilai perbuatan seseorang Muslim yang turut serta dalam sambutan perayaan-perayaan agama lain, kita perlu mengenalpasti adakah perbuatan tersebut dibenarkan menurut al-Quran dan as-Sunnah. Kuncinya, bukan semua adat masyarakat setempat diterima oleh Islam. Ada yang bertentangan dan ada bersesuaian dengan Islam.



Kongsi Raya telah dipromosikan sebagai salah satu amalan
dalam masyarakat yang berbilang kau
sebagai bukti perpaduan kaum dalam sebuah negara. 
Adakah amalan ini dibenarkan oleh Islam?


Hukum Meraikan Perayaan Agama Lain
Jika kita mengkaji nas-nas al-Quran dan as-Sunnah, maka akan dijumpai hukum bagi seseorang Muslim untuk turut serta dalam merayakan hari perayaan agama lain, termasuk juga memberi ucapan. Dalam al-Quran, Allah S.W.T berfirman dalam Surah al-Furqan ayat 72, “Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri (la yash-haduna) tempat-tempat yang melakukan perkara-perkara yang dilarang (al-zur), dan apabila mereka melewati (orang-orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka lalui (sahaja) dengan menjaga kehormatan dirinya”. 



Ayat ini selalunya dikaitkan dengan pemberian kesaksian palsu (syahadah al-zur). Tetapi, dari konteks kalimatnya, makna yang lebih tepat adalah la yahdhurunahu (tidak menghadirinya). Sebahagian besar Mufassirin telah menjelaskan bahawa makna kalimah al-zur (kepalsuan) dalam ayat di atas adalah syirik [Imam al-Syaukani, Fath al-Qadir, juz 4, hal. 89]. Beberapa Mufassirin seperti Abu ‘Aliyah, Thawus, Muhammad bin Sirrin, al-Dhahhak dan al-Rabi’ bin Anas menjelaskan makna al-zur di sini adalah hari raya kaum Musyrikin. Sedangkan menurut jumhur ulama, kalimah la yash-haduna, bermakna la yahdhuruna al-zur, iaitu ‘tidak menghadirinya’ [Imam al-Syaukani, Fath al-Qadir, juz 4, hal. 89]. Tambahan pula, ayat ini disambung lagi dengan, “...dan apabila mereka melewati (orang- orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka lalui (sahaja) dengan menjaga kehormatan dirinya”. 

Oleh itu, keseluruhan ayat ini membawa pengertian bahawa ‘mereka tidak menghadiri al-zur’. Dan jika mereka melewatinya, maka mereka segera melepasinya dan tidak mahu terpalit kekotorannya sedikit pun [Tafsir Ibnu Katsir, juz 3, hal. 1346]. Dalil daripada As-Sunnah, Rasulullah S.A.W bersabda, “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia termasuk dalam golongan mereka” [HR Abu Dawud]. 

Daripada hadis ini, Islam telah mengharamkan kaum Muslimin untuk menyerupakan atau menyamakan diri mereka dengan kaum kafir dalam perkara-perkara yang menjadi ciri khas bagi kekafiran (hadharah kufur), seperti hari perayaan kaum kafir. Hadharah adalah sekumpulan mafahim (idea yang dianut dan mempunyai fakta) tentang kehidupan. Hadharah kufur berdiri atas dasar pemisahan agama dari kehidupan dan pengingkaran terhadap peranan agama dalam kehidupan, yang berakibat munculnya fahaman sekular. Di atas dasar inilah mereka menegakkan kehidupan beserta peraturan-peraturannya. Hadharah bersifat khas, sesuai dengan pandangan hidup/pegangan hidup seseorang. Oleh itu, haram hukumnya seseorang Muslim untuk turut serta merayakan hari raya agama lain kerana hari raya mereka merupakan salah satu daripada hadharah kufur. 

Ramai fuqaha’ yang menyatakan haramnya menghadiri perayaan/hari raya kaum kafir. Imam Ahmad bin Hanbal berkata, “Kaum Muslimin telah diharamkan untuk merayakan hari raya orang-orang Yahudi dan Nasrani”. Kaum Muslimin telah dilarang untuk merayakan hari raya orang-orang musyrik atau kafir atau memberikan sesuatu (hadiah) atau menjual sesuatu kepada mereka atau naik kenderaan yang digunakan mereka untuk merayakan hari raya mereka. Sedangkan memakan makanan yang disajikan kepada kita hukumnya makruh, baik yang dihantar oleh mereka atau mereka mengundang kita (kepadanya) (Ibnu Tamiyyah, Iqtidha’ al-Shirath al-Mustaqim, hal. 201). 

Ibnu Qayyim al-Jauziyyah mengatakan, “Sebagaimana mereka (kaum Musyrikin) tidak diperbolehkan menampakkan syiar-syiar mereka, maka tidak diperbolehkan pula bagi kaum Muslimin menyetujui dan membantu mereka melakukan syiar itu serta hadir bersama mereka. Demikian menurut kesepakatan ahli ilmu” (Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Ahkam Ahl al-Dzimmah, juz 1. hal. 235). 

“Tidak diperbolehkan bagi kaum Muslimin menghadiri hari raya mereka karena mereka berada dalam kemungkaran dan kedustaan. Apabila ahli ma’ruf bercampur dengan ahli mungkar, tanpa mengengkari mereka, maka ahli ma’ruf itu adalah (serupa) sebagaimana halnya orang yang meredhai dan terpengaruh dengan kemungkaran itu. Maka kita takut akan turunnya murka Allah atas jamaah mereka, yang meliputi secara umum. Kita berlindung kepada Allah dari murka-Nya” (Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Ahkam Ahl al-Dzimmah, juz 1. hal. 235). 

Berdasarkan kajian fakta dan nas-nas al-Quran dan as-Sunnah yang telah dinyatakan di atas, adalah jelas bahawa haram hukumnya bagi seseorang Muslim untuk menyambut Hari Krismas atau perayaan-perayaan agama lain dalam segala bentuk dan juga manifestasinya. Haram bagi kaum Muslimin untuk terikut-ikut dalam mengucapkan kata-kata seperti “Merry Christmas” atau dalam perayaan-perayaan lain. Haram juga untuk mengadakan pelbagai jenis pertunjukan untuk meraikannya.



Bersyukur Dengan Hari Raya Kita
Sebagai seorang Muslim, kita perlu sedar dan bersyukur dengan bulan yang Allah berikan khas untuk kita seperti yang tercatat dalam al-Quran. Hari raya Idul Fitri dan Hari Raya Idul Adha sejak dari dulu sampai sekarang merupakan perayaan bagi kaum Muslimin yang disambut pada bulan Syawal dan Zulhijjah. Tiada bulan yang boleh menggantikan bulan-bulan yang mulia ini. Dalam bulan Syawal, umat Islam diseru untuk memeriahkan ketibaan Idul Fitri setelah selesai berpuasa selama sebulan. Rasulullah S.A.W bersabda, 



“Barang siapa menghayati malam Hari Raya Idul Fitri dan malam Hari Raya Idul Adha dengan amal ibadah sedang dia mengharapkan keredaan Allah semata-mata, hatinya tidak akan mati seperti hati orang-orang kafir” [HR Imam At-Tabrani]. 

“Barang siapa mengerjakan amal ibadah pada malam Hari Raya Idul Fitri dengan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati pada hari kiamat sebagaimana matinya hati orang-orang yang kafir yang ingkar pada hari kiamat” [HR Imam At-Tabrani] 

Umat Islam digalakkan menyambut Hari Raya Idul Fitri dengan tahmid sebagai tanda syukur kepada Allah pada hari yang mulia ini. Ini diterangkan dalam hadis Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, "Hiasilah Hari Raya kamu dengan takbir dan tahmid” [HR at-Tabrani].



“Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah
hanyalah Islam [ali-Imran (3) : 19].
~ Sambutan Hari Raya Idul Fitri dan Idul Adha adalah
ketentuan daripada Allah dan sunnah Rasulullah
kepada umat Islam. Rasulullah tidak pernah
menyambut atau membenarkan sambutan hari raya
agama lain bagi umatnya. ~



Wahai Muslim, Ayuh Kita Raih Cinta Allah!
Setiap Muslim, di mana pun ia berada, tentu amat berharap dapat meraih cinta daripda Allah S.W.T. Namun, tidak semua Muslim benar-benar berusaha mewujudkan harapannya itu dengan sungguh-sungguh meraih cintaNya yang sejati. Sering harapannya itu hanya terungkap di lubuk hati dan sekadar terucap di hujung lidah, tidak sampai termanifestasi melalui perbuatan. Padahal meraih cinta - apalagi cinta suci Illahi - adalah yang paling agung dari segala -galanya. Allah S.W.T berfirman, “Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Jika kalian mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Dia akan mencintai kalian dan mengampuni dosa-dosa kalian. Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang’” [TMQ Ali- Imran (3):31]. 



Dengan demikian, cinta sejati Allah Yang Maha Suci akan kita raih jika kita mengikuti jalan yang telah ditunjukkan oleh baginda Nabi S.A.W. Kesimpulannya, setelah kita memahami bahawa meraikan Hari Krismas adalah haram, maka tinggalkanlah ia kerana meninggalkan larangan adalah manifestasi cinta kita kepada Allah dan RasulNya.

Wallua'lam.


Artikel ini diambil dari Buletin Bahrul 'Arifah. Dibenarkan utk semua kawan2 SHARE dan selamat beramal..


Penat menaip.. klik

You Might Also Like

3 Comment

Greetings and Assalamualaikum...
Sila tinggalkan komen anda di sini..
Will pay a visit back! Thank You

Heart 1

Travel & Beauty Blog

Sponsored